1. Menimbulkan interaksi komunikatif
Berdasarkan takrifan Asmah Haji Osmar (1980), wacana merupakan satu unit bahasa yang melebihi batas ayat. Dalam konteks ini, wacana dapat dikategorikan sebagai ayat mahupun sejumlah ayat, buku, siri, ceraian bab dan sebagainya yang memperlihatkan kesatuan hubungan antara butiran fikiran serta perkembangan akaliah yang ada di dalamnya. Dalam erti kata lain, kesatuan pemikiran dalam sesuatu ujaran adalah perkara yang sangat penting dalam sesebuah wacana. Kenyataan ini turut disokong oleh Henry Tarigan (1987) di mana wacana ialah satu saluran linguistik yang terlengkap dan tersusun rapi dengan koherensi dan kohesi tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan secara lisan dan bertulis.
Oleh hal yang demikian, wacana yang mampu terhasil dengan baik secara tidak langsung dapat menimbulkan interaksi komunikatif iaitu komunikasi antara penutur dengan pendengar ataupun komunikasi antara penulis dengan pembaca. Dalam perkara ini, objektif sesebuah wacana sama ada dalam komunikasi lisan mahupun komunikasi tulisan ini yang merupakan dua aspek utama dalam wacana adalah melibatkan aspek tautan dan runtutan. Kedua-dua aspek ini adalah sangat penting iaitu dalam pembentukan sesebuah wacana agar teks atau ayat yang dihasilkan mempunyai maksud yang jelas serta mudah untuk difahami oleh pembaca atau pendengar.
Tambahan pula, kepentingan dalam menghasilkan teks dan wacana yang baik dan jelas dalam hubungan komunikasi antara dua hala ini adalah bertujuan agar penghasilan wacana seseorang individu tersebut tidak menyimpang atau memberikan makna yang kurang difahami oleh pendengar mahupun pembaca. Perkara ini amatlah perlu dititikberatkan oleh semua orang supaya makna asal teks yang dihasilkan dapat dikekalkan. Bukan itu sahaja, seseorang penulis atau penutur sudah semestinya memegang peranan yang penting dalam menghasilkan wacana yang bermakna misalnya dengan menetapkan objektif ataupun tujuan dalam menentukan jenis wacana yang ingin digunakan. Hal ini supaya tujuan sebenar teks dan wacana itu dihasilkan dapat mencapai objektif penulis atau penutur tersebut.
2. Mendapatkan sesuatu maklumat
Tujuan wacana yang seterusnya ialah mendapatkan sesuatu maklumat. Dalam konteks ini, ayat tanya akan digunakan untuk bertanyakan sesuatu perkara atau mendapatkan maklumat yang diinginkan. Ayat tanya selalu di tutur dengan menggunakan nada yang tinggi sebelum menjadi rendah pada akhir ayat. Oleh itu, penutur atau penulis akan menggunakannya bagi mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci mengenai sesuatu perkara yang ingin mereka tahu. Berikut merupakan beberapa contoh dengan menggunakan ayat tanya:
Berdasarkan beberapa contoh di atas, terdapat lima ayat tanya yang digunakan untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Misalnya contoh ayat yang pertama iaitu 1. Kakak guna apa pergi pasar? adalah merujuk kepada penulis atau penutur yang menggunakan ayat tanya untuk mendapatkan maklumat berkenaan kenderaan yang digunakan oleh kakak tersebut untuk pergi ke pasar.
Seterusnya, contoh ayat kedua iaitu 2. Esok cuti ke? adalah merujuk kepada ayat tanya untuk mendapatkan maklumat berkenaan kepastian penulis atau penutur sama ada esok cuti ataupun tidak. Ayat ketiga pula iaitu 3. Siapakah yang mengambil buku saya? diujarkan untuk mengetahui gerangan orang yang mengambil buku penulis atau penutur tersebut.
Selain itu, ayat keempat iaitu 4. bagaimanakah keadaan anak saya, doktor? membawa maksud penulis atau penutur ingin mengetahui keadaan semasa anaknya. Bagi ayat yang terakhir iaitu 5. Berapa orangkah atlet yang bakal mewakili sekolah pada tahun ini? telah ditanyakan bagi mengumpul maklumat berkenaan jumlah atlet yang akan menjadi wakil sekolah.
Oleh itu, berdasarkan keterangan seperti di atas, jelaslah menunjukkan bahawa penulis atau penutur akan menggunakan ayat tanya bagi mendapatkan maklumat dengan jelas dan terperinci untuk sesuatu perkara. Penulis atau penutur juga akan menggunakan ayat tanya yang lebih mudah untuk pendengar atau pembaca fahami dan tidak menyimpang dari makna asal.
3. Menyampaikan maklumat
Tujuan wacana yang ketiga iaitu menyampaikan maklumat. Berdasarkan perkara ini, seseorang yang mampu menyampaikan maklumat dengan baik dan jelas merupakan sebuah kemahiran yang amat penting dalam wacana. Oleh hal yang demikian, bagi mencapai tujuan ini, penulis atau penutur akan menggunakan ayat penyata untuk menyampaikan sesuatu maklumat.
Menurut Dewan Bahasa Pustaka, ayat penyata merupakan ayat untuk menyampaikan sesuatu perkara yang dinyatakan dengan jelas. Tujuan ayat penyata ini digunakan dalam menyampaikan maklumat adalah untuk memudahkan penulis atau penutur bagi memberikan keterangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci. Hal ini kerana ayat penyata juga dikenali sebagai ayat keterangan. Berikut merupakan contoh-contoh yang menggunakan ayat penyata bagi menyampaikan maklumat:
Berdasarkan contoh yang pertama iaitu 1. Adik mencuci pinggan mangkuk sambil menyanyi, diujarkan oleh penulis atau penutur untuk menyampaikan maklumat bahawa adik sedang mencuci pinggan mangkuk sambil menyanyi. Ayat yang kedua pula iaitu 2. Penyanyi terkenal itu sedang berehat, diujarkan yang membawa maksud penyanyi tersebut sedang berehat.
Selain itu, ayat yang ketiga iaitu 3. Pelajar di kelas 3 Theta sedang bermain di padang yang bermaksud penulis atau penutur ingin menyampaikan maklumat bahawa pelajar di kelas tersebut bermain di sesuatu tempat iaitu padang manakala ayat yang keempat pula berbunyi 4. Emak memasak ikan masak merah pada petang ini, yang membawa maksud emak sedang memasak iaitu memasak ikan masak merah pada waktu petang.
Seterusnya, ayat yang kelima iaitu 5. Ali sedang membaca buku di pondok, diujarkan oleh penulis atau penutur yang membawa maksud seseorang individu yang Bernama Ali sedang membaca buku di sesuatu tempat iaitu di pondok. Ayat yang terakhir iaitu 6. Abang suka memancing, dinyatakan yang membawa maksud hobi abang adalah memancing.
Jelaslah disini bahawa penulis atau penutur akan menggunakan ayat penyata dalam wacana yang bertujuan untuk menyampaikan sesuatu maklumat ataupun sesuatu perkara kepada pembaca mahupun pendengar.
4. Menjadikan sesuatu tindakan berlaku
Tujuan wacana yang keempat iaitu menjadikan sesuatu tindakan berlaku. Dalam konteks ini, ayat perintah merupakan elemen yang paling sesuai digunakan untuk mewujudkan perkara tersebut berlaku. Wislah Malaysia (2022) yang terdapat dalam Bahan Sekolah mendefinisikan ayat perintah sebagai ayat yang digunakan untuk memberikan arahan perintah kepada pembaca atau pendengar. Oleh itu, ayat perintah dapat digunakan untuk tujuan menimbulkan sesuatu tindakan. Terdapat empat kategori dalam ayat perintah, iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan.
Kategori yang pertama iaitu ayat suruhan yang diucapkan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Ayat larangan pula merupakan ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan dan usah sebelum kata kerja dengan tujuan mencegah seseorang untuk melakukan sesuatu perkara. Selain itu, ayat silaan merujuk kepada ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan untuk menjemput atau mempersilakan seseorang. Akhir sekali, ayat permintaan merupakan ayat yang menggunakan kata permintaan, seperti minta dan tolong dengan tujuan untuk memohon permintaan dan pertolongan. Berikut merupakan contoh penggunaan ayat perintah:
Berdasarkan ayat suruhan diatas iaitu simpankan botol ini di dapur adalah mengkehendaki pembaca atau pendengar untuk menyimpan botol tersebut di dapur. Ayat kedua pula iaitu ayat larangan yang berbunyi dilarang merokok di tandas awam membawa maksud bahawa pembaca atau pendengar tidak dibenarkan untuk merokok di tandas awam.
Seterusnya, ayat ketiga iaitu ayat silaan berbunyi jemput masuk membawa maksud bahawa pembaca atau pendengar dialukan-alukan untuk masuk ke rumah misalnya. Ayat yang terakhir pula iaitu ayat pemintaan yang berbunyi minta ketua pengawas berjumpa dengan saya selepas perhimpunan adalah membawa maksud bahawa penutur atau pendengar yang menjawat jawatan ketua pengawas untuk berjumpa dengan guru selepas perhimpunan sekolah berakhir.
Dapat disimpulkan disini bahawa ayat perintah boleh digunakan oleh penulis atau penutur dalam tujuan wacana bagi menjadikan sesuatu perkara itu berlaku.
5. Memerikan teks
Tujuan wacana yang terakhir iaitu memerikan teks. Berdasarkan konteks ini pula, memerikan teks terbahagi kepada tiga perkara iaitu tujuannya dilakukan agar dapat memudahkan penulis atau penutur memahami serta dapat memanfaatkan teks atau kelompok teks tersebut dengan jelas. Dalam erti kata lain, idea topik yang dapat dihasilkan oleh penulis atau penutur berdasarkan sebuah wacana dengan memerikan teks tersebut.
Bukan itu sahaja, memerikan teks juga bertujuan untuk memudahkan penulis atau penutur untuk membuat perbandingan antara teks ataupun bahagian dalam teks, di samping memudahkan penulis melihat persamaan dan perbezaan yang terdapat dalam sesebuah wacana. Hal ini dikatakan sedemikian kerana dengan berbuat demikian secara tidak langsung penulis atau penutur tersebut dapat menunjukkan sesuatu perkara dengan tepat mengenai sesuatu yang menjadi ciri khas kepada sesebuah teks tersebut. Tujuan wacana ini amatlah penting kerana menurut Henry Guntur Tarigan (1995:77) dalam Mohd Rashid Md Idris (2018), tujuan wacana dihasilkan adalah untuk memerikan teks serta berupaya untuk menjadikan teori wacana sebagai pegangan umum.
No comments:
Post a Comment