RUNTUTAN ATAU KOHERAN merupakan kesinambungan idea yang sebuah wacana yang bermakna. Sanat Md. Nasi dalam Mohd Rashid (2018) telah mendefinisikan runtutan sebagai susunan fikiran ayat logik atau kualiti kefahaman tentang sesuatu. Runtutan merupakan salah satu asas untuk membina wacana yang bermakna. Menurut F.J Angelo, runtutan terbahagi kepada sembilan iaitu atitif atau penambahan, rentetan, pengulangan, penekanan, hubungan keseluruhan dan bahagian, hubungan hasil dan kegagalan, hubungan perbandingan, hubungan ibarat dan hubungan tujuan.
Rajah 3: Model Runtutan oleh F.J Angelo
1) Aditif atau Penambahan
Aditif ialah maklumat tambahan kepada sesuatu yang diperkatakan sebelumnya. Terdapat jenis aditif seperti dan, lalu, malahan, tambahan pula, di samping itu dan sebagainya. Contoh ayat seperti dibawah menggunakan aditif ‘malahan’ untuk menambahkan maklumat bagi ayat sebelumnya.
Sastera bukan sahaja menampilkan kebudayaan atau menumbuhkan kebudayaan, malahan kebudayaan juga menentukan corak dan pola sastera. |
2) Rentetan
Rentetan pula digunakan sebagai penanda bagi menjelaskan sesuatu secara berurutan. Kebiasaannya, retentan digunakan untuk menjelaskan sesuatu proses atau perjalanan sesuatu perkara. Sebagai contoh teks di bawah menggunakan perkataan kemudian, selepas itu, seterusnya, kemudian dan akhir sekali telah menunjukkan teks yang secara berurutan.
Penghasilan kek lapis kukus yang lembut apabila gula dan majerin diputar sehingga kembang. Kemudian, masukkan 8 biji telur ke dalam adunan satu persatu dan putar sehingga sebati. Selepas itu, masukkan tepung, serbuk soda bikarbonat dan esen vanila. Seterusnya, bahagikan adunan kepada 2 bahagian dan masukkan pewarna pilihan (kuning dan hijau). Kemudian, masukkan separuh adunan kuning ke dalam loyang diikuti dengan adunan hijau secara bergilir-gilir. Akhir sekali, masukkan loyang ke dalam pengukus dan kukus selama satu jam. |
3) Pengulangan
Pengulangan digunakan untuk menegaskan sesuatu maklumat supaya pembaca atau pendengar boleh memahami topik dengan jelas. Sebagai contoh penggunaan perkataan kek yang berulang kali dalam teks di bawah.
Kek adalah sejenis makanan yang manis. Hidangan kek boleh disajikan untuk minum pagi, petang atau majlis jamuan ringan. Hidangan kek juga sangat sinonim dijadikan kek hari jadi, perkahwinan, hantaran atau majlis-majlis tertentu. Bahan utama dalam penyediaan kek adalah seperti mentega, gula, telur tepung dan lain-lain. Kek sangat popular sebagai produk bakeri dalam industri pastri masa kini. |
4) Penekaan
Penekanan ialah penggunaan perkataan yang boleh meningkatkan kekoherensifan wacana dengan perkara yang diperkatakan. Terdapat beberapa jenis penekanan seperti sesungguhnya, sungguh, memang, nampaknya dan bahawasanya. Contohnya seperti di bawah;
A1 | Sungguh pilu sekali suasana ini kurasakan. |
A2 | Dia memang dapat membaca fikiranku. |
5) Hubungan Keseluruhan dan Bahagian
Hubungan keseluruhan dan bahagian merupakan satu perkara yang dipecahkan kepada bahagian-bahagian tertentu. Oleh itu, penulis atau pengujar perlulah menjelaskan sesuatu perkara yang dibincangkan dari bahagian kepada bahagian yang seterusnya secara jelas. Sebagai contoh teks di bawah menggunakan perkataan buku dan dipecahkan kepada bahagian dan subtopik.
Buku yang bertajuk Tokoh Perjuangan di SITC itu sangat tebal. Buku itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 11 tokoh perjuang kemerdekaan dan 13 punjangga Melayu. Buku ini memperjelaskan perjalanan tokoh dalam memperjuangkan kemerdekaan dan mencetuskan kebangkitan rakyat dalam setiap subtopik. |
6) Hubungan Hasil dan Kegagalan
Hubungan hasil dan kegagalan ialah satu perkara yang menerangkan keadaan sesuatu hasil yang akhirnya menemui kegagalan selepas sesuatu tindakan. Hubungan hasil dan kegagalan hanya dapat dikenal pasti melalui pembacaan dan pendengaran keseluruhan teks atau ujaran. Contohnya;
Kegemilangan Kerajaan Gangga Negara musnah pada abad ke-11 Masihi apabila diserang oleh Kerajaan Sriwijaya di bawah kepemimpinan Raja Rajendra Chola. |
7) Hubungan Perbandingan
Hubungan perbandingan dapat dilihat melalui dua perkara iaitu keadaan atau situasi. Tujuannya adalah untuk meningkatkan peningkatan penerimaan pembaca atau pendengar dengan sesuatu teks. Sebagai contoh penggunaan kata manakala dan pula menunjukkan perbandingan kaum di sesuatu tempat dalam teks di bawah.
Di Kota Marudu terdapat kaum seperti Garo, Paitan, Sonsogon, Talantang, Libau, Kavananan dan Rumanau. Manakala, di Kota Belud pula mempunyai himpunan masyarakat suku kaum Bajau yang paling banyak dan beberapa suku kaum yang lain seperti Iranun, Kagayan, Tinagas dan Dusun Tindal. |
8) Hubungan Ibarat
Hubungan ibarat ialah penggunaan peribahasa, simpulan bahasa dan bidalan. Penggunaan bahasa dalam wacana dapat meningkatkan kefahaman kepada pembaca dengan perkara yang diperkatakan. Oleh itu, pembaca dapat menggambarkan sesuatu itu dengan jelas. Sebagai contoh penggunaan simpulan bahasa seperti cakar ayam dalam A1 serta periuk nasi dan ibarat mencari sesuap nasi dalam A2.
A1 | Saya sudah tidak dapat membaca tulisan sendiri kerana terlalu buruk seperti cakar ayam. |
A2 | Orang Melayu juga menyifatkan pekerjaan sebagai periuk nasi dan usaha hariannya ibarat mencari sesuap nasi. |
9) Hubungan Tujuan
Hubungan tujuan digunakan untuk menggambarkan sesuatu tindakan. Sebagai contohnya ayat di bawah menunjukkan tindakan Amirah untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan akhir tahun.
Amirah berusaha bersungguh-sungguh belajar menguasai semua subjek. Dia sentiasa memberi perhatian ketika guru mengajar di bilik darjah supaya lebih memahami seuatu topik dan tidak ketinggalan. Dia juga akan bertanya kepada guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami. Dia berhasrat untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan akhir tahun nanti. |
Jelaslah berikut merupakan beberapa contoh tentang runtutan menurut F.J Angelo. Menurut Sanad Md. Nasir dalam Mohd Rashid Md. Idris (2012), terdapat tiga tahap runtutan iaitu tujuan penulis menyampaikan teks, penerimaan pembaca kepada teks, tanggapan pembaca terhadap maklumat yang disampaikan dalam teks. Secara rumusnya, runtutan digunakan oleh penulis untuk mengaitkan sesuatu perkara dalam teks. Runtutan ini dikatakan berbeza mengikut pendapat tokoh. Hal ini dikatakan sedemikian kerana Harimurti Kridalaksana pula menyatakan runtutan terbahagi kepada alasan dan akibat, sebab dan akibat, hasil kegagalan, perbandingan, aditif temporal dan ibarat.
Rajah 4: Model Runtutan oleh Harimurti Kridalaksana
No comments:
Post a Comment